Hamidin terus dapat 'undi percaya' - EDISI SIASAT

Hamidin terus dapat ‘undi percaya’

Read Time:3 Minute, 8 Second
Hamidin terus dapat 'undi percaya'
Kedudukan Hamidin selaku Presiden FAM terus kukuh walaupun terdapat desakan netizen supaya beliau meletak jawatan susulan kegagalan di Piala AFF.

Hamidin terus dapat ‘undi percaya’

KUALA LUMPUR: Kedudukan Datuk Hamidin Mohd Amin selaku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampak masih kukuh walaupun terdapat desakan daripada netizen supaya beliau meninggalkan kerusi nombor satu itu.

Ia selepas beberapa ahli gabungan menyuarakan sokongan atau memberikan ‘undi percaya’ terhadap kepimpinan Hamidin untuk terus menerajui FAM walaupun kegagalan skuad kebangsaan dalam kempen Piala AFF 2020 bulan lalu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis, Zamri Ibrahim dan Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang, Datuk Abdul Rashid Ismail berpendapat buat masa ini tidak perlu ada desakan untuk Hamidin.

Zamri berkata, meskipun ada yang beranggapan keputusan bedah siasat perlu dijadikan indikator buat Presiden FAM mengambil tanggungjawab penuh dan meletakkan jawatan secara terhormat, ia dianggap tidak wajar.

Beliau juga tidak melihat ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dijadikan sebagai ‘kambing hitam’ susulan keputusannya meletak jawatan selepas kegagalan skuad negara di Piala AFF.

“Buat masa ini tidak seharusnya timbul soal ini (letak jawatan), ini kerana tanggungjawab bukan dibahunya (presiden) seorang.”Pada pandangan saya, semua pihak perlu menilai Hamidin berdasarkan fakta yang mana sepanjang kepimpinannya, bola sepak negara berada di landasan yang baik dan sebagai contoh skuad Harimau Malaya merekodkan sembilan kemenangan dalam keseluruhan 13 perlawanan sepanjang 2019.

“Bukan ingin jadikan alasan tetapi sememangnya skuad kebangsaan tidak ada satu pun perlawanan pada 2020 dan 2021 berikutan kekangan pandemik, kemungkinan ini sedikit sebanyak menjejaskan persiapan.

“Bagi saya tidak wujud istilah di kambing hitamkan malah, Cheng Hoe sendiri mengakui itu adalah keputusannya sendiri. Jadi sekarang kita perlu maju ke depan dan tunggu siapa jurulatih baharu itu. Saya percaya yang dipilih ini adalah yang terbaik buat negara kita,” kata Zamri.

Zamri dan Rashid menjadi wakil ahli gabungan ketiga dan keempat yang menyatakan sokongan terhadap Hamidin selepas Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Shaari Mat Hussain yang baru-baru ini menyifatkan Hamidin sebagai seorang pemimpin yang komited serta bekerja keras untuk bola sepak negara.

Sementara itu, Abdul Rashid pula berkata jika dinilai dari sudut pemain muda negara pula, mereka ketika ini sedang berada di landasan tepat dalam meneruskan kesinambungan legasi Harimau Malaya.

“Sepanjang berada di tampuk kepimpinan Hamidin, kita mencatatkan kemenangan dan pencapaian yang boleh dianggap baik antaranya memenangi Kejuaraan B-19 AFF 2018, tempat ketiga Kejuaraan B-16 AFF 2018, juara Kejuaraan B-15 AFF 2019, naib juara Kejuaraan B-18 AFF 2019 dan layak ke Pusingan Akhir Kejuaraan B-19 AFC 2020.

“Terkini, kita juga layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 AFC 2022. Maka buat masa ini kita tidak seharusnya mudah menghukum sebaliknya memberi peluang untuk industri bola sepak negara bangkit semula dengan lebih baik terutama ketika berdepan cabaran pandemik.

“Untuk bangkit lebih baik perlukan kerjasama semua terutama pengurusan di peringkat negeri, di mana kita perlu lebih fokus kepada pembangunan bakat dari peringkat akar umbi dalam menghasilkan generasi produk Harimau Malaya yang baik untuk kejayaan jangka panjang,” katanya.

Hamidin terus dapat ‘undi percaya’


Disyorkan Untuk Anda :

Lawati Laman


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi : MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan : Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214  –  Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Kepada Azman Ujang, Jangan ‘Di Lacurkan’ SPRM

 

Share

Leave a Reply