7 pelancong maut ditimpa cenuram runtuh di Brazil - EDISI SIASAT

7 pelancong maut ditimpa cenuram runtuh di Brazil

Read Time:2 Minute, 6 Second
7 pelancong maut ditimpa cenuram runtuh di Brazil
Lokasi cenuram di Tasik Furnas runtuh menimpa bot pelancong di Brazil. FOTO AFP

7 pelancong maut ditimpa cenuram runtuh di Brazil

RIO DE JANEIRO: Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan tiga masih hilang selepas cenuram runtuh menimpa bot membawa pelancong di sebuah tasik di Brazil, kata pihak berkuasa, semalam.

Pasukan penyelamat termasuk skuad penyelam dan anggota Tentera Laut Brazil bergegas ke Tasik Furnas di negeri Minas Gerais, ketika pelancong yang panik melihat serpihan bongkah batu pecah dari cenuram dan menimpa tiga bot pelancong.

“Angka rasmi terkini yang maut ialah tujuh orang dan tiga lagi hilang,” kata jurucakap bomba Minas Gerais, Pedro Aihara.

Terdahulu, Komander Bomba Minas Gerais, Kolonel Edgard Estevo da Silva berkata sekurang-kurangnya 20 orang masih hilang, selain 32 orang cedera.

Estevo berkata, usaha pencarian dihentikan sementara pada waktu malam atas faktor keselamatan dan disambung semula pada waktu pagi.

Jelasnya, jumlah yang hilang dianggarkan berdasarkan ‘maklumat saksi, agensi pelancongan dan saudara mara mereka’.

Pada tengah hari semalam waktu tempatan, serpihan bongkah batu jatuh dan menghempap tiga bot pelancongan di Tasik Furnas, kawasan pelancongan di wilayah Capitolio.

Pelancong berpusu-pusu melihat dinding batu, gua dan air terjunnya yang mengelilingi perairan Tasik Furnas, dibentuk oleh empangan hidroelektrik.

Dalam video dikongsi di rangkaian media sosial, terdapat rakaman detik tepat apabila cenuram itu jatuh ke atas tiga bot berkenaan yang mencetuskan panik dalam kalangan penumpang yang menyaksikan kejadian itu dari bot lain.

Satu lagi video di media sosial menunjukkan detik beberapa minit sebelum cenuram itu runtuh, yang mana beberapa orang memberi amaran terdapat banyak batu yang jatuh dan menjerit kepada penumpang bot lain supaya menjauhi dinding tasik berkenaan.

Menurut anggota bomba dan pasukan penyelamat lain termasuk penyelam, sekurang-kurangnya 32 orang cedera dengan sembilan daripadanya terpaksa dimasukkan ke hospital.

Bomba berkata, hujan lebat dalam beberapa hari kebelakangan ini di tenggara Brazil mungkin antara faktor berlakunya runtuhan itu. – AFP

7 pelancong maut ditimpa cenuram runtuh di Brazil


Disyorkan Untuk Anda :

Lawati Laman


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi : MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan : Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214  –  Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Semua Ahli LPPR Sanggah Kenyataan Abu Zahar

Share

Leave a Reply