Maut kerana mahu selamatkan teman wanita - EDISI SIASAT

Maut kerana mahu selamatkan teman wanita

Read Time:2 Minute, 25 Second
Maut kerana mahu selamatkan teman wanita
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul hari ini. – NSTP/Hazreen Mohamad

Maut kerana mahu selamatkan teman wanita

KUALA LUMPUR: Pemandu e-Hailing yang bertarung nyawa selama dua hari selepas dibelasah sekumpulan enam lelaki yang berselisih faham dengan teman wanitanya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) 30 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam kejadian jam 1.35 pagi 28 Disember lalu, apabila seorang wanita warga asing berusia 40 tahun membuat laporan polis berkaitan teman lelakinya berusia 28 tahun diserang sekumpulan lelaki ketika mereka berada di dalam kereta di parkir sebuah pusat hiburan di Kepong.

Beliau berkata, siasatan mendapati ketika wanita terbabit bersama mangsa berada di parkir belakang pusat hiburan itu sekumpulan lelaki menariknya keluar dan terus memukulnya sehingga menyebabkan berlaku pendarahan di kepala.

“Suspek kemudian melarikan diri selepas melihat mangsa cedera.

“Hasil siasatan mendapati motif kejadian adalah teman wanitanya berselisih faham dengan suspek ketika berada di dalam pusat hiburan sehingga mereka mengekori wanita terbabit yang dijemput mangsa untuk pulang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Eng Lai berkata, mangsa mengalami kecederaan kritikal dihantar ke HKL untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 10.50 pagi 30 Disember lalu.

“Susulan itu, polis Sentul dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur membuat beberapa siri serbuan di lokasi berlainan untuk memburu suspek.

“Hasil daripada serbuan, kita menahan enam lelaki berusia 20 hingga 24 tahun di Johor, Perak, Selangor dan juga di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam tempoh enam hari bermula 1 Januari lalu hingga semalam,” katanya.

Beliau berkata, susulan daripada tangkapan yang dilakukan, pihak polis merampas 10 telefon bimbit pelbagai jenama, pakaian yang dipakai oleh suspek semasa kejadian serta beberapa dokumen berkaitan.

“Semakan rekod mendapati tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau pelbagai kesalahan manakala tiga lagi suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kini semua suspek ditahan reman sehingga 13 Januari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Daripada enam suspek itu, katanya, dua daripadanya adalah adik beradik dan mereka berasal dari Johor dan ketika ditahan mereka sedang menyembunyikan diri.

Maut kerana mahu selamatkan teman wanita


Disyorkan Untuk Anda :

Lawati Laman


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi : MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan : Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214  –  Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Ini Hendak Bantu Rakyat Atau Hendak Siksa Rakyat

Share

Leave a Reply