PARALIMPIK: Bonnie bakal bergelar jutawan - EDISI SIASAT

PARALIMPIK: Bonnie bakal bergelar jutawan

Read Time:2 Minute, 20 Second

PARALIMPIK: Bonnie bakal bergelar jutawan

KUALA LUMPUR: Atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin bakal menjadi ‘Orang Kaya Baharu’ selepas memenangi pingat emas di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, hari ini.

Bonnie yang turut memecahkan rekod temasya di Tokyo International Forum dengan angkatan terbaiknya 228 kilogram (kg) dalam kelas 72kg lelaki kemungkinan menerima imbuhan lebih RM1 juta.

Berdasarkan imbuhan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), pemenang emas di Sukan Olimpik atau Paralimpik bakal menerima imbuhan RM1 juta manakala perak RM300,000 dan gangsa RM100,000 selain tambahan sekiranya memecahkan rekod temasya atau dunia.

Mereka turut menerima Skim Imbuhan Tetap Olimpik (SITO) yang diberikan secara bulanan untuk sepanjang hayat dengan pemenang emas diberikan RM5,000, perak RM3,000 dan gangsa RM2,000.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) merangkap ketua kontinjen negara, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, ganjaran itu ada dengan Bonnie dijadual menerima imbuhan tambahan daripada penaja FWD Takaful Berhad.


Disyorkan Untuk Anda :


“Untuk makluman insentif memang sama, tak ada perubahan. (Bonnie akan terima) sama seperti atlet di Paralimpik Rio dan atlet di Olimpik sebelum ini.

“Cuma kita ada tambahan daripada penaja seperti dimaklumkan bekas Menteri Belia dan Sukan (Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican) iaitu daripada FWD Takaful Berhad, mereka akan tambah lagi hadiah kemenangan.

“Jadi, Bonnie akan menerima (ganjaran) daripada kerajaan dan daripada penaja ini yang diusahakan oleh MSN (Majlis Sukan Negara),” katanya dalam sidang media secara maya hari ini.

Dalam laporan BH Sukan sebelum ini, FWD Takaful Berhad dilaporkan bakal memberi insentif RM100,000 kepada pemenang pingat emas, RM50,000 kepada pemenang pingat perak dan RM30,000 untuk pemenang gangsa.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ganjaran daripada kerajaan Sarawak menunggu Bonnie serta atlet Sarawak lain yang berjaya membawa pulang pingat.

“Pasti akan ada ganjaran dari kerajaan negeri dan juga kerajaan pusat untuk Bonnie serta semua atlet yang berjaya memenangi pingat tanpa mengira warnanya di Sukan Paralimpik Tokyo 2021,” kata Abdul Karim.

Bonnie Bunyau Gustin

Tempat lahir: Kampung Baru Mawang, Sarawak

Tarikh lahir: 3 Jun 1999 (22 tahun)

Sukan: Powerlifting

Pencapaian:

Sukan Paralimpik Tokyo 2020 (kelas 72kg) – Emas

Piala Dunia Para Powerlifting Dubai 2021 – Emas

Piala Dunia Para Powerlifting Bangkok 2021 (kelas 72kg) – Emas

Kejohanan Dunia Para Powerlifting Nur-Sultan 2019 (kelas 65kg lelaki) – Emas

Sukan Para Asia Jakarta 2018 (kelas 65kg lelaki) – Emas


Disyorkan Untuk Anda :


Rooney yakin Ronaldo tidak akan sertai City

Share

Leave a Reply