'Kecil-kecil cili api' - EDISI SIASAT

‘Kecil-kecil cili api’

Read Time:4 Minute, 34 Second

'Kecil-kecil cili api'

KUALA LUMPUR: Dari sudut fizikal, pelakon Sweet Qismina, 24, sangat disenangi dengan sikap ramah, lemah lembut, tutur bicara tersusun rapi, malah amat bersopan.

Namun, lain pula kisahnya jika dalam media sosial. Bintang drama Bidadari Salju ini dilabelkan antara selebriti lantang bersuara, tak ubah kecil-kecil cili api apabila sering membangkitkan pelbagai isu yang tidak kena pada matanya.

Tahun lalu, Sweet atau nama sebenarnya, Farhanna Qismina Supandi mencuri perhatian netizen apabila meluahkan rasa meluat terhadap golongan Lesbian, Gay, Biseksual & Transgender (LGBT) yang keterlaluan dalam mempertahankan hak mereka.

Ini diikuti teguran menerusi bebenang ciapan dalam Twitter terhadap sistem yang hanya membenarkan ibu bapa dan penjaga sahaja boleh mengambil dan memulangkan buku teks di sekolah, khususnya sekolah menengah yang disifatkannya sebagai tidak adil dan menyusahkan banyak pihak.

Dan, pelakon kecil molek ini kembali meluahkan rasa tidak puas hati terhadap hasrat kerajaan membuka kembali sesi persekolahan secara berperingkat untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 1 September depan, memandangkan masih ramai pelajar sekolah belum menerima suntikan vaksin, baru-baru ini.

Meskipun tindakannya tidak dipersetujui ramai dan boleh menyebabkan dirinya dikecam, namun sebagai selebriti, Sweet berhak memberikan pendapat terhadap apa sahaja isu terutama berkaitan dengan masyarakat.


Disyorkan Untuk Anda :


Tenang menyusun kata, Sweet akui: “Perkara ini sebenarnya terpulang kepada individu itu sendiri. Namun sebagai selebriti, saya rasa ada kebaikannya untuk berkongsi pendapat ataupun kandungan berkaitan jika pandangan kita boleh menjadikan sesuatu situasi bertambah baik.

“Mengenai isu sekolah akan kembali dibuka, isu ini memang menjadi kerisauan semua pihak terutamanya ibu bapa, apatah lagi dalam keadaan bilangan kes COVID-19 masih tinggi, ketika ini.

“Kita tak boleh mengambil risiko kerana tidak boleh menjangka bagaimana situasi pada September depan,” katanya kepada BH Online.

Berpegang prinsip berani kerana benar, bekas penyandang trofi Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 ini enggan mempedulikan komen negatif pihak yang tidak bersetuju dengan pandangannya itu.

“Apa sahaja yang saya luahkan dalam media sosial, ia adalah pendapat peribadi saya sendiri. Saya hanya mahu menjadi diri sendiri. Setiap orang berhak menyuarakan pandangan mereka.

“Saya bersikap terbuka dalam menerima komen daripada netizen, terutama boleh membawa kebaikan. Mana yang memberi komen negatif, saya abaikan. Tetapi, tidak adalah sampai terima komen berbentuk ancaman,” ujarnya.

Diam tak diam, sudah dua tahun Sweet dan kekasihnya yang juga pelakon, Adam Lee menyulam cinta, hubungan bukan lagi satu rahsia kerana mereka begitu terbuka mengenainya.

Namun, sehingga kini, masih belum nampak sebarang tanda yang pasangan ini mahu meletak noktah percintaan dengan ikatan perkahwinan, walaupun hubungan mendapat restu keluarga kedua-dua pihak.


Disyorkan Untuk Anda :


Sweet dan Adam mula menjalin hubungan cinta sejak digandingkan dalam drama Adam Chempaka pada 2019.

Diusik apakah mereka mempunyai perancangan ke fasa baharu dalam kehidupan dan tidak kisah disatukan ketika musim pandemik COVID-19, Sweet berkata, perkara itu bukanlah sesuatu yang difikirkan, buat masa ini.

“Hubungan kami masih seperti dahulu. Cuma, buat masa ini, kami masih belum memikirkan soal mendirikan rumah tangga kerana lebih fokus pada kerjaya dan keluarga masing-masing,” ujar anak jati Kuala Lumpur ini.

Bukan mudah menjalinkan hubungan dengan pasangan yang berada dalam bidang sama. Cabaran dihadapi bukan calang-calang.

Tidak menolak hakikat itu, Sweet mengakui, ada ketika rasa bimbang dan ragu apabila memikirkan apakah pengakhiran kisah cinta mereka itu.

“Tak dinafikan, pernah terlintas di fikiran apakah kisah cinta kami berakhir dengan baik atau sebaliknya. Namun, kami hanya ambil perkara positif sahaja.

“Mana yang negatif dan boleh menjadi toksik dalam hubungan, kami abaikan sahaja,” tegasnya.

 


Disyorkan Untuk Anda :


Beralih perkembangan kerjaya seni, pelakon filem Pusaka itu berkata, dia kini masih berehat sementara menantikan tawaran baharu.

Pun begitu, jauh di sudut hati, masih terselit rasa bimbang untuk kembali ke lokasi penggambaran terutama bilangan kes jangkitan masih tinggi, selain pernah menjadi mangsa COVID-19.

“Saya sentiasa terbuka jika ada tawaran baharu. Cuma, dalam keadaan sekarang, perasaan risau memang ada, namun saya semua perlu beringat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

“Saya juga perlu terima hakikat virus ini masih berada di sekeliling kita buat masa ini. Apa yang penting, jaga SOP. Insya-Allah cabaran ini akan berlalu dan keadaan akan beransur pulih dalam masa yang terdekat,” ungkapnya.

Sebagai langkah keselamatan dan tidak mahu pisang berbuah dua kali, Sweet turut menyatakan sokongan terhadap syarat yang dikenakan iaitu semua penggiat seni wajib perlu melengkapkan dua dos vaksin sebelum kembali bekerja.

“Saya menyokong syarat artis dan kru produksi perlu melengkapkan dua dos vaksin sebelum kembali bekerja untuk keselamatan. Bukan sahaja di lokasi penggambaran, malah untuk keselamatan keluarga.

“Hanya dengan cara ini sahaja yang boleh meyakinkan saya dan penggiat seni lain untuk rasa selamat dan membolehkan kami kembali bekerja dengan tenang,” katanya yang sudah mendapat dua dos suntikan vaksin.

April lalu, Sweet disahkan positif COVID-19 dan menjalani tempoh rawatan dan kuarantin di Pusat Kuarantin Ipoh, Perak.


Disyorkan Untuk Anda :

Lawati Laman Facebook Kami


“NAK ‘BLOCK’ SAYA PUN, TAK APA” – JAAFAR ONN IKHLAS TEGUR ARTIS VETERAN TIDAK BERTUDUNG

Share

Leave a Reply