Sindrom 'Havana' yang misteri menjejaskan diplomat AS - EDISI SIASAT

Sindrom ‘Havana’ yang misteri menjejaskan diplomat AS

Read Time:2 Minute, 3 Second

 

WASHINGTON: Pegawai Amerika Syarikat (AS) yakin penyakit misteri menimpa diplomat negara itu dikenali sebagai ‘sindrom Havana’ yang menyebabkan sakit kepala teruk, mual dan kemungkinan kerosakan otak disebabkan serangan menggunakan alat elektronik.

Selasa lalu, rangka lawatan Naib Presiden AS, Kamala Harris ditangguhkan selama beberapa jam selepas kedutaan AS di Hanoi melaporkan kemungkinan berlaku insiden tidak diingini.

Ia berikutan kebimbangan pemimpin itu menjadi sasaran, selepas laporan mengatakan diplomat AS di ibu negara Vietnam itu mungkin mengalami penyakit misteri dipanggil sindrom ‘Havana’.

Bagaimanapun, Harris kemudian meneruskan lawatannya ke Hanoi dan Jabatan Negara AS memberitahu pihaknya sedang menyiasat kes yang disifatkan sebagai ‘insiden kesihatan yang tidak normal’ atau AHI.


Artikel Menarik :


Ia adalah kes terbaharu daripada puluhan kes dilaporkan diplomat dan pegawai perisik AS sejak 2016 yang pertama kali berlaku di Cuba, kemudian di China, Jerman, Australia, Taiwan dan Washington.

Julai lalu, majalah New York melaporkan terdapat puluhan kes membabitkan pegawai AS di Vienna, Austria sejak awal tahun ini.

Di tengah-tengah kebimbangan kemungkinan Russia bertanggungjawab terhadap serangan itu, Jabatan Negara AS memberi amaran kepada ribuan diplomatnya berhubung ancaman itu.

Pada masa sama, pemeriksaan perubatan secara meluas turut dijalankan ke atas pegawainya yang menuju ke luar negara bagi meneliti secara lebih terperinci sebarang kesan bagi serangan yang mungkin berlaku pada masa depan.

“Kami menerima setiap laporan dengan sangat serius dan memastikan pekerja yang terkesan akan menerima rawatan dan sokongan diperlukan,” kata jurucakap Jabatan Negara AS.

Bagaimanapun, jumlah laporan yang diterima berhubung insiden itu dalam kalangan pegawai AS tidak didedahkan.

Selepas insiden di Hanoi, bekas pegawai operasi Agensi Perisikan Pusat (CIA), Marc Polymeropoulos, yang turut menjadi mangsa serangan simptom itu di Moscow pada 2017, berkata jumlah serangan dilihat makin meningkat.

“Seolah-olah musuh kami menghantar mesej yang jelas bahawa mereka kini tidak hanya berupaya untuk menyerang pegawai perisik, diplomat dan pegawai tentera AS.

“Jelas mereka juga memberitahu boleh menyerang orang kenamaan (pemimpin kanan negara),” katanya kepada Laporan Sumber Terbuka Cipher Brief, semalam. – AFP


Artikel Menarik :

Lawati Laman Facebook Kami


Lelaki ditahan ‘suntik’ makanan di pasar raya

 

Share

Leave a Reply