Tidak bersua anak isteri sejak 6 bulan lalu, inilah pengorbananku - EDISI SIASAT

Tidak bersua anak isteri sejak 6 bulan lalu, inilah pengorbananku

Read Time:2 Minute, 27 Second

Tidak bersua anak isteri sejak 6 bulan lalu, inilah pengorbananku

Seremban: Berkorban demi negara hingga sanggup tidak pulang ke rumah berjumpa anak dan isteri selama enam bulan.

Semua itu dilakukan Leftenan Angkatan Pertahanan Awam (APM), Mohd Najib Abdul Karim demi menggalas tanggungjawab sebagai ketua komandan di dua pusat kuarantin (QS) di Klana Resort Seremban dan Royal Chulan Seremban di sini, sejak Mac tahun lalu.

Malah, pada awal pusat kuarantin dibuka kerajaan, bapa kepada dua anak perempuan itu hanya dapat melelapkan mata tiga hingga empat jam sehari selain tidur malamnya beralaskan pelbagai dokumen berkaitan QS.

Mohd Najib berkata, ketika diarahkan untuk mengetuai dua QS berkenaan, dia baru sahaja selesai menjalani pembedahan jantung pada Februari 2020.

“Pada mulanya saya agak berat untuk menerima tugas berkenaan kerana baru sahaja menjalani pembedahan jantung. Keluarga saya juga bimbang dengan keadaan saya kerana sangat berisiko untuk mengalami implikasi jika didapati positif.

“Namun, demi menggalas tanggungjawab terhadap negara, saya menyahut cabaran berkenaan. Saya ketepikan keadaan kesihatan dan keluarga, itu pengorbanan yang ramai tidak tahu,” katanya ketika ditemui di QS Klana Resort Seremban, di sini, semalam.

Beliau berkata, pada awal QS dibuka pada Mac 2020, tiada sesiapa atau mana-mana agensi yang mempunyai pengalaman dalam menguruskan pusat berkenaan menyebabkan pasukannya menghadapi pelbagai kesukaran.

“Pada awalnya memang kelam kabut dan banyak kelemahan berlaku kerana tidak mempunyai kepakaran memandangkan serangan pandemik seperti ini adalah sesuatu yang baru, bukan sahaja di negara ini, malah seluruh dunia.

“Pada waktu itu juga saya ‘berumahtangga’ di QS ini selama kira-kira enam bulan kerana bimbang virus Covid-19 akan berjangkit kepada ahli keluarga. Kami hanya berhubung melalui panggilan telefon.

“Saya disediakan bilik di QS ini namun sebahagian daripadanya adalah timbunan pelbagai dokumen yang perlu dilaporkan kepada pihak atasan sekiranya mereka menghubungi pada waktu malam atau awal pagi,

“Sehingga kini saya masih tidak berpeluang untuk bersama keluarga kerana hanya pulang ke rumah dua minggu sekali,” katanya yang tinggal di Mantin, Nilai bersama isteri dan dua anak perempuan berusia 13 serta 22 tahun.

Beliau yang memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah APM Daerah Seremban berkata, berkat kerjasama dengan pelbagai agensi selama lebih setahun, pasukannya kini tersusun dan sudah tahu tugasan yang perlu dilakukan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Pejabat Daerah dan Tanah Seremban.

“Setakat ini kesukaran yang kami hadapi adalah ketika proses kemasukan yang mana perlu menghabiskan masa berjam-jam dalam sut kelengkapan pelindung diri (PPE) selain mempunyai masalah komunikasi untuk menerangkan peraturan QS kepada warga asing.

“Selain itu, kesukaran juga dihadapi untuk melayan karenah penghuni QS yang terdiri daripada peringkat dan golongan. Ada juga individu yang dikuarantin memandang rendah kepada kami dan menengking petugas,” katanya.


Artikel Menarik :

Lawati Laman Facebook Kami


Waris Mangsa Covid-19 Layak Buat Tuntutan PERKESO

Share

Leave a Reply