Duterte akan bertanding sebagai naib presiden pula - EDISI SIASAT

Duterte akan bertanding sebagai naib presiden pula

Read Time:1 Minute, 45 Second

Duterte akan bertanding sebagai naib presiden pula Presiden Filipina, Rodrigo Duterte. – Foto AFP

MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, berkata beliau akan mencalonkan diri sebagai naib presiden tahun depan untuk meneruskan perang terhadap dadah dan pemberontak.

Bagaimanapun, pengkritik mendakwa tindakan Duterte berikutan beliau takut didakwa atas kesalahan jenayah.

Duterte yang dipilih pada 2016, dilarang di bawah perlembagaan untuk bertanding bagi penggal seterusnya, dan sebelum ini membayangkan kemungkinan untuk bertanding jawatan kedua tertinggi di negara itu.

“Saya akan mencalonkan diri sebagai naib presiden,” kata Duterte semalam dalam ucapan yang dirakam, mengesahkan pengumuman sebelum ini oleh parti PDP-Laban bahawa beliau bersetuju untuk bertanding jawatan itu.


“Kemudian saya akan meneruskan perang… Saya bimbang mengenai dadah, pemberontakan, yang pertama adalah pemberontakan, kemudian jenayah, dadah.

“Saya mungkin tidak memiliki kuasa untuk memberikan arahan atau bimbingan, tetapi saya boleh menyatakan pandangan saya kepada umum,” katanya.

Sejak mengambil alih kuasa, Duterte melancarkan kempen berdarah terhadap penagih dan pengedar dadah yang dianggarkan oleh kumpulan hak asasi sudah membunuh puluhan ribu orang.

Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berusaha untuk melancarkan siasatan menyeluruh mengenai pembunuhan terbabit.

Pemberontak komunis dan penyokong mereka juga menjadi sasaran ketika Duterte berusaha untuk menghentikan pemberontakan selama puluhan tahun.

PDP-Laban dijangka akan menyokong pembantu utama Duterte, Senator Christopher Lawrence ‘Bong’ Go, untuk menjadi calon presiden pada pemilihan Mei ini.

Namun, penyokong parti yang setia kepada petinju yang beralih kepada senator, Manny Pacquiao, berkata tindakan Duterte hanya untuk melindungi anak perempuannya, Sara yang dijangka mencalonkan diri sebagai presiden, daripada serangan politik.

Mahkamah Agung sebelum ini memutuskan bahawa presiden menikmati kekebalan undang-undang, tetapi wujud perdebatan sama ada naib presiden menikmati kekebalan sama.

Sekiranya Sara Duterte-Carpio atau Go menang, mereka boleh melindungi Duterte dari tuduhan jenayah.

Tinjauan terbaru menunjukkan Sara, daripada parti yang berbeza daripada ayahnya, meraih sokongan terbanyak di antara calon berpotensi termasuk Pacquiao. – AFP

Indonesia rampas kapal tangki yang dikehendaki kerana curi minyak

Share

Leave a Reply

You May Have Missed