Terpaksa Gunakan ROS Bukti Ismail Sabri Gagal Dan Kem Mahiaddin Makin Panik - EDISI SIASAT

Terpaksa Gunakan ROS Bukti Ismail Sabri Gagal Dan Kem Mahiaddin Makin Panik

Read Time:4 Minute, 10 Second

Dalam keluaran yang lepas, portal ini telah mendedahkan kronologi keputusan ‘flip flop’ ROS berhubung permohonan penangguhan pemilihan UMNO.

9 Julai 2021, ROS mengutus surat kepada Setiausaha Agung UMNO, DS Ahmad Maslan, yang secara jelas menyatakan tiada halangan untuk UMNO menangguh pemilihan parti dan ianya selaras dengan Fasal 10:16 Perlembagaan UMNO.

Namun tidak sampai sebulan, pada 6 Ogos 2021, tiba-tiba ROS mengubah keputusan tersebut dengan mengarahkan UMNO supaya membuat pemilihan parti di semua peringkat.

Baca di sini:

https://edisisiasat.com/2021/08/07/secara-tiba-tiba-ros-batalkan-penangguhan-pemilihan-umno/

Edisi Siasat tidak mahu ulas lebih lanjut atas keputusan ‘flip flop’ ROS, kerana menurut Setiausaha Agung UMNO, DS Ahmad Maslan, perkara ini sudah pun diserahkan kepada peguam UMNO untuk tindakan selanjutnya.

Apa yang kita hendak kupas kali ini, kenapa kem Mahiaddin seakan menggunakan ROS yang mungkin merupakan peluru terakhir mereka untuk menyerang UMNO.

Pada 4 Ogos 2021, Mahiaddin telah dititahkan supaya mengadap SPB YDP Agung.

Dalam sidang media Mahiaddin, ada 2 intipati penting yang disampaikan, yang lain-lain hanya ayat-ayat kliche.

Pertama, Mahiaddin telah memaklumkan kepada baginda bahawa beliau ‘masih’ lagi mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen yang mencukupi tetapi beliau tidak nyatakan berapa jumlahnya.

Kedua, Mahiaddin memberitahu bahawa beliau telah memohon kepada SPB YDP Agung supaya keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri ditentukan dengan melakukan undian percaya di Dewan Rakyat ketika mula bersidang pada bulan September nanti.

2 hari selepas itu, pada 6 Ogos 2021, Ismail Sabri membuat sidang media untuk ‘menjelaskan jumlah yang mencukupi’ seperti yang didakwa oleh Mahiaddin.

Ismail Sabri mendakwa 31 Ahli Parlimen Barisan Nasional telah menandatangi surat persetujuan sokongan kepada Mahiaddin dan Perikatan Nasional.

Dalam senarai 31 Ahli Parlimen yang didakwa oleh Ismail Sabri itu termasuk Ahli Parlimen Baling, Ahli Parlimen Tg Karang dan Ahli Parlimen Parit.

Tapi ketiga-tiga Ahli Parlimen tersebut menafikan dakwaan Ismail Sabri.

Baca di sini:

https://edisisiasat.com/2021/08/06/ismail-sabri-menipu-31-ahli-parlimen-bn-sokong-mahiaddin-dan-perikatan-nasional/

Namun yang paling membuat Mahiaddin tertekan, apabila selepas Ismail Sabri membuat sidang media, Menteri Pengajian Tinggi merangkap Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini, meletak jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi dan secara jelas menyatakan ketaatan beliau kepada ketetapan UMNO.

Tidak dapat dinafikan, tunjang kekuatan jentera pilihanraya UMNO ialah Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO.

Pendirian Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO sudah jelas dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan.

Satu-satunya harapan Mahiaddin untuk ‘hijack’ jentera pilihanraya UMNO ialah melalui Wanita UMNO dan Mahiaddin juga sangat-sangat berharap, sekiranya Ketua Wanita menyatakan sokongan terhadap beliau, sekurang-kurangnya Wanita UMNO dapat mempengaruhi sebahagian besar dari Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO untuk memantapkan jentera pilihanraya PPBM.

Mahiaddin tahu, peluang untuk beliau pertahankan jawatan Perdana Menteri dan Perikatan Nasional hampir tiada apabila usul undi percaya dilakukan di Parlimen pada bulan September nanti.

Sama ada Mahiaddin mahu atau tidak mahu, suka atau tidak suka, satu-satunya pilihan yang beliau ada selepas undi percaya dilakukan di Parlimen nanti ialah menasihatkan SPB YDP Agung untuk membubarkan Parlimen.

Jadi, Mahiaddin sangat berharap agar Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Naib Presiden UMNO dapat mempengaruhi Dr Noraini supaya menyatakan sokongan terhadap Mahiaddin dan Perikatan Nasional secara terbuka.

Namun, ianya gagal dilaksanakan oleh Ismail Sabri.

Peluru terakhir yang ada pada Mahiaddin ialah dengan menggunakan ROS supaya mengeluarkan arahan kepada UMNO untuk membuat pemilihan parti di setiap peringkat.

Kalau ini berlaku, Mahiaddin berharap kepimpinan UMNO akan menumpukan perhatian untuk berkempen dan menguruskan pemilihan parti dan mengenepikan isu menarik balik sokongan kepada beliau dan Perikatan Nasional buat sementara waktu.

Selain dari memberikan Mahiaddin ruang dan masa untuk mengatur langkah seterusnya, ianya juga akan memberikan peluru tambahan kepada Mahiaddin untuk menyerang UMNO kerana sudah tentu pemimpin UMNO akan dilihat seakan-akan lebih bertumpu ke arah kempen mempertahan dan merebut jawatan dari menyelesaikan masaalah rakyat dan negara.

Kalau kita sangka menukarkan kepimpinan tertinggi UMNO dengan pemimpin UMNO yang berkiblatkan Mahiaddin, adalah matlamat Mahiaddin, kita silap, kerana Mahiaddin sendiri sedar, tidak mungkin, malah amat mustahil 31 nama yang telah diumumkan oleh Ismail Sabri dalam sidang media tempuh hari dapat diterima oleh akar umbi UMNO.

Di mata 3.2 juta akar umbi UMNO yang setia dan taat kepada parti, yang tidak pernah kenal arti penat lelah dalam memperjuang dan mempertahankan parti di bawah terik mentari dan curahan hujan, tetap bersama-sama UMNO di saat senang dan susah, bangga bila UMNO dijulang dan tidak luntur semangat bila UMNO difitnah dan dicerca, 31 orang itu sudah dikenal pasti sebagai pengkhianat yang bukan sahaja tidak boleh diterima lagi, malah tidak boleh dimaafkan.

Memang benar pepatah Melayu mengatakan, apabila biduk berlalu, kiambang akan bertaut semula, namun kali ini, biduk yang telah berlalu telah meninggalkan selut yang terlalu kotor dan kesan yang amat mendalam untuk kiambang bertaut semula.

Share

Leave a Reply